BERITA UTAMA


Berita Utama PPBM

Sumber Free Malaysia Today
03/04/2018

Orang Pagoh tahu cerita saya, kata Muhyiddin

PETALING JAYA: Sudah 35 tahun Pagoh setia bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebaliknya. Dari PRU 1978 hingga 2013, hanya sekali dari 7 perlawanan undian untuk anak Johor itu bawah 20,000 undi iaitu pada 1982.

Ketika demam reformasi mengejutkan negara pada PRU 1999, Muhyiddin bertahan dengan majoriti 12,857 undi. Berdepan gelombang protes PRU 2008, Muhyiddin bertahan dengan majoriti 12,581 undi.

“Heavyweight” politik ini sinonim dengan Pagoh, mukim yang dulu dipenuhi ladang sawit dan getah kini hab pendidikan terbesar di Malaysia dengan 4 universiti dan Galeri Darurat Bukit Kepong.

“Saya nak bertanding tetapi saya perlu dengar apa kata orang Pagoh. Saya sedia dan tawarkan kepada rakyat Pagoh jika saya diperlukan,” kata Muhyiddin kepada FMT baru-baru ini.

Congakan di Pagoh pada pilihan raya umum ke-14 mungkin berubah memandangkan Muhyiddin bukan lagi bersama Umno.

Bekas menteri besar Johor ini menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan PPBM, dan perlu memikat pengundi Melayu yang membentuk 66% daripada 46,968 pengundi berdaftar. Minoriti terbesar adalah pengundi Cina yang membentuk lebih kurang 30%.

Penganalisis merasakan pengundi Cina akan bersama pembangkang dan pertandingan 3 penjuru untuk merebut sokongan orang Melayu. Sejak 2004 undi kepada lawan tradisi, PAS, meningkat hampir sekali ganda iaitu 4,932 undi, 8,447 undi (2008) dan 13,432 undi (2013).

Bagaimana Muhyiddin akan menghadapinya?

“Jika mereka kata ‘tidak’…ada sudah kenal saya dan saya boleh membantu mereka walaupun sudah tidak ada dalam kerajaan,” katanya.

Orang Pagoh tahu cerita saya

Muhyiddin percaya Pagoh dan dirinya tidak mudah dipisahkan memandangkan beliau sudah terlalu lama di situ. Lagipun beliau pernah menjadi ketua Umno bahagian sejak 1986.

Pemecatannya sebagai timbalan presiden pada 24 Jun 2016 sudah dijangka berikutan pertikaian tentang isu 1MDB dengan Presiden Datuk Seri Najib Razak. Muhyiddin antara yang berucap di Deklarasi Rakyat menuntut Najib meletak jawatan pada Mac.

Muhyiddin berkata warga Pagoh tahu sebab beliau dipecat.

“Hakikatnya kini mereka tahu kebenarannya. Saya percaya mereka menghormati pendirian saya.”

Beliau percaya warga Pagoh juga boleh menerima kehadirannya bersama PPBM.

“Ini bukan tentang saya nak tubuh parti baru sebab kalau tidak saya tidak ada platform. Saya tidak boleh bersendirian dan sebab itu saya sertai PPBM,” katanya.

Muhyiddin bercerita tentang Pagoh dan sentimen akar umbi di situ.

“Kalau kita lihat secara fizikal pun sudah berubah wajah. Mereka tidak boleh nafikan usaha yang saya buat,” katanya.

“Dulu tidak ada jalan bandar…jalan tar. Dulu tidak ada bekalan air – orang ‘taruk’ tin-tin kosong tepi jalan – sekarang semua sudah dapat bekalan air. Dulu tidak ada bekalan elektrik – gelap sesetengah kawasan – sekarang semua ada. Dulu letak pondok telefon dan sekarang semua ada telefon.

“Waktu zaman saya sekolah Melayu, Cina, Tamil ada dan saya telah bawa pembangunan hub pendidikan di Pagoh,” katanya.

Muhyiddin percaya perjuangan kali ini dalam bentuk PPBM bersama rakan-rakannya seperti Dr Mahathir dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Mukhriz.

“Di Pagoh, mereka mahu satu bentuk perjuangan yang boleh manfaat dan faedah pada mereka,” katanya.

News-Link:http://www.freemalaysiatoday.com/category/ge14/2018/03/03/orang-pagoh-tahu-cerita-saya-kata-muhyiddin/