BERITA UTAMA


Berita Utama PPBM

Sumber The Malaysian Insight
01/02/2018

Muhyiddin cabar Najib jemput pemerhati pilihan raya antarabangsa

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin hari ini mencabar Perdana Menteri Najib Razak supaya menjemput pemerhati antarabangsa untuk memantau Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), itu pun jika Presiden Umno itu yakin yang PRU14 akan berjalan dengan bersih dan adil.

“Najib tidak perlu membohongi rakyat dengan mengatakan BN (Barisan Nasional) tidak akan menipu dalam PRU14. Hakikatnya, penipuan telah dan sedang dilakukan oleh BN kerana mereka semakin hari semakin takut akan kalah dalam pilihan raya,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, persempadanan semula kawasan pilihan raya dibuat untuk memberi kelebihan untuk BN, dengan menambah majoriti BN di kawasan yang dimenangi tipis pada PRU13.

“Pakatan Harapan mempunyai kebimbangan yang berasas bahawa PRU14 akan menjadi pilihan raya yang terkotor dalam sejarah Malaysia,” kata Muhyiddin.

Pada Selasa Najib mendakwa penipuan dalam PRU14 tidak akan berlaku memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengamalkan ketelusan yang tinggi dan diperkukuh dengan penggunaan dakwat kekal berbanding era pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sebarang tuduhan seperti itu hanyalah percubaan pembangkang untuk meragukan pengundi.

Muhyiddin menghentam Najib kerana menidakkan kenyataan yang jentera BN bekerjasama rapat dengan SPR untuk membentuk persempadanan pilihan raya yang baharu.

“Sesiapa sahaja yang meneliti peta persempadanan baharu akan dapat mengetahui bahawa ia dibuat secara sengaja untuk memihak kepada BN. Bukankah ini satu bentuk penipuan yang nyata?” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Tambah Muhyiddin lagi, PH mendapati terdapat ribuan nama dalam daftar pemilih yang tidak mempunyai alamat lengkap.

“Ini menimbulkan keraguan tentang siapakah identiti mereka? Adakah mereka benar-benar pemilih yang layak atau tidak?” soalnya.

Katanya, jumlah pengundi pos juga bertambah untuk PRU mendatang kerana kali ini merangkumi kakitangan kerajaan.

“Jika sekalipun kerajaan berhasrat untuk memberikan kelonggaran kepada mereka untuk mengundi tanpa menjejaskan tugas rasmi, maka tidak sepatutnya menjadi masalah kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari mengundi sebagai hari cuti umum,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menekankan yang PH telah dapat mengesan sejumlah anggota tentera dipindahkan ke kem tentera yang belum siap di beberapa kawasan yang dimenangi tipis oleh BN dalam PRU13.

Justeru, katanya PH mempunyai alasan kukuh yang BN akan menggunakan proses undian pos untuk menipu dalam PRU14.

“Penipuan dan manipulasi undian pos akan dilakukan oleh BN semata-mata untuk mengekalkan kuasa mereka yang ibaratnya sedang berada di hujung tanduk.

“PRU14 bukanlah pertembungan antara PH dan BN. Ia adalah pertembungan antara rakyat dan BN untuk menghentikan segala bentuk kerosakan dan kemungkaran yang sedang dilakukan oleh Najib dan BN.

“Apabila majoriti besar rakyat bangkit menolak BN menerusi peti undi, apa sahaja bentuk penipuan yang dilakukan oleh Najib dan BN tidak akan mampu menyelamatkan mereka,” kata Muhyiddin, sebelum menyeru rakyat menolak “rejim kleptokrat BN dan selamatkan Malaysia.” – 1 Februari, 2018.

Link News - https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/35563/