KENYATAAN MEDIA

JANGAN LINDUNGI PENJENAYAH

Mahkamah Singapura beberapa hari lalu telah menjatuhkan hukuman penjara 4 tahun 6 bulan ke atas bekas pengurus kekayaan BSI Bank Singapura, Yeo Jiawei, kerana didapati bersalah melakukan jenayah penggubahan wang haram yang membabitkan urusniaga 1MDB. Tindakan mahkamah Singapura ini adalah konsisten dengan apa yang saya katakan selama ini bahawa terdapat bukti kukuh tentang jenayah penyelewengan wang 1MDB dan mereka yang terbabit mesti didakwa. Amatlah menghairankan apabila pihak berkuasa Singapura berjaya menemui bukti untuk mendakwa Yeo dan mensabitkan beliau atas kesalahan jenayah, tetapi Peguam Negara Malaysia tidak menemui apa-apa bukti untuk memulakan proses pendakwaan ke atas penyangak 1MDB di negara ini. Pihak berkuasa Singapura juga telah meghentikan operasi BSI Bank dan Falcon Bank di negara itu dan mendenda beberapa buah bank lain yang didapati terbabit dalam jenayah penggubahan wang haram melibatkan berbilion ringgit wang 1MDB. Sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja Skandal 1MDB perlu diwujudkan segera untuk menyiasat skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara ini dan mereka yang terbabit melakukan jenayah, termasuk penjawat-penjawat awam yang melindungi mereka, perlu dihadapkan ke mahkamah. Malaysia tidak harus menjadi sebuah negara yang melindungi penjenayah.
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
16 Julai 2017