KENYATAAN MEDIA

KERAJAAN SEBAGAI MAJIKAN MESTI BAYAR ELAUN PISMP

Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai penghapusan elaun sara hidup RM430 sebulan dan elaun perjalanan RM500 setahun untuk pelajar yang menyertai Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bermula ambilan Jun 2018 adalah satu lagi berita buruk dalam siri pemotongan perbelanjaan kerajaan untuk bidang pendidikan di Malaysia. Sebelum ini, belanjawan universiti-universiti awam tempatan juga dipotong kerana kekangan kewangan kerajaan yang semakin meruncing menyebabkan kontrak para professor yang berpengalaman tidak disambung.

Tindakan Kementerian Pendidikan menghapuskan elaun sara hidup pelajar PISMP telah dikritik oleh banyak pihak. Beberapa hari lalu Armada PPBM telah mengeluarkan kenyataan mendesak Kementerian Pendidikan supaya mengkaji semula keputusan itu.

Kerajaan sepatutnya memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan kerana bidang ini melibatkan pelaburan jangka panjang negara. Belanjawan untuk bidang pendidikan tidak seharusnya dipotong sewenang-wenangnya kerana ini akan menjejaskan pembangunan modal insan negara.

PISMP adalah satu program penting untuk melatih bakal guru yang berkualiti. Ketika saya di Kementerian Pendidikan dahulu, saya terlibat secara langsung dalam penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mana latihan guru untuk tujuan melahirkan guru yang berkualiti adalah salah satu aspek penting pelan ini.

Ketika itu, kita merancang untuk menjadikan perguruan sebagai kerjaya pilihan. Untuk tujuan itu, PISMP menawarkan pelbagai insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk menyertai program ini termasuk meneruskan pembayaran elaun sara hidup bulanan untuk setiap pelajar.

Apatah lagi, secara prinsipnya dalam mana-mana program pelatihan, majikanlah yang sepatutnya menanggung keseluruhan kos latihan termasuk menyediakan elaun sara hidup untuk para pelatih. Elaun inilah yang digunakan oleh para pelatih untuk menampung perbelanjaan mereka sepanjang menyertai program latihan.

Dalam konteks PISMP, pelajar adalah pelatih dan Kementerian Pendidikan adalah majikan. Dengan menghapuskan elaun sara hidup pelajar-pelajar PISMP, Kementerian Pendidikan sebenarnya telah mengalih sebahagian daripada kos latihan perguruan yang sepatutnya ditanggung oleh kerajaan kepada para pelatih dan ibubapa mereka. Ini adalah sesuatu yang tidak adil.

Meminta pelajar-pelajar PISMP memohon pinjaman PTPTN bukanlah jalan penyelesaiannya. Sepertimana yang kita tahu, PTPTN juga menghadapi kekangan dari segi keupayaan untuk menyediakan pinjaman kepada semua pelajar. Apa yang saya khuatir ialah jika pelajar PISMP gagal mendapat pinjaman PTPTN dan mereka terpaksa menarik diri daripada mengikuti program PISMP kerana tidak mempunyai kemampuan kewangan, apakah yang akan terjadi kepada unjuran latihan perguruan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan? Adakah satu hari nanti akan berlaku kekurangan guru untuk mata pelajaran tertentu dan guru lain terpaksa memikul beban berlebihan akibat kekurangan ini yang akhirnya akan menjejaskan kualiti pendidikan negara?

Dengan kekangan kewangan kerajaan yang semakin meruncing dan belanjawan untuk pendidikan dipotong, saya khuatir matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk menjadikan sistem pendidikan di negara ini antara yang terbaik di dunia akan menjadi lebih sukar untuk dicapai. Saya berharap kerajaan akan menimbang semula keputusannya untuk menghapuskan elaun PISMP dan kembali memberikan keutamaan kepada bidang pendidikan dalam merancang belanjawan negara.
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
18 Julai 2017