KENYATAAN MEDIA

SURUHANJAYA DIRAJA MENYIASAT KERUGIAN PELABURAN MATAWANG ASING

Keputusan kabinet untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia dalam urusniaga matawang asing lebih 25 tahun yang lalu adalah sesuatu yang aneh. Kenapa baru sekarang suruhanjaya ini hendak ditubuhkan?

Jika benar Najib hendak mencari kebenaran dalam isu kerugian urusniaga ini, beliau sepatutnya telah bersuara mengenainya ketika beliau berada di dalam kabinet Tun Dr Mahathir 25 tahun yang lalu. Jika tidak di dalam kabinet, beliau boleh menyuarakannya di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang mana pada ketika itu beliau adalah Naib Presiden.

Saya tidak ingat Najib pernah menyuarakan hal ini dan menegur Tun Mahathir dalam mana-mana mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada ketika itu. Begitu juga ketika saya berada di dalam kabinet Tun Mahathir bersama-sama beliau pada ketika itu, saya tidak pernah ingat Najib membangkitkan perkara ini dalam mana-mana mesyuarat kabinet.

Setelah 25 tahun berlalu dan setelah Tun Dr Mahathir mengkritik Najib dalam isu penyelewengan 1MDB, berulah beliau mahu supaya kerugian Bank Negara disiasat. Bukankah kes ini telah disiasat dan individu-individu terbabit telah lama meletakkan jawatan? Apa pula muslihat Najib menubuhkan suruhanjaya ini?

Bagi saya, keputusan kabinet menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini tidak lain merupakan satu percubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal penyelewengan 1MDB yang sedang disiasat di lebih 5 buah negara dan diambil tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat. Najib tidak mampu menjawab pelbagai persoalan yang melingkari 1MDB terutama yang melibatkan pembabitan dirinya sendiri dan ahli keluarganya secara langsung dalam menyeleweng wang 1MDB.

Sedangkan keperluan yang amat mendesak pada ketika ini ialah untuk menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja menyiasat penyelewengan 1MDB. Suruhanjaya ini perlu menyiasat sejauhmanakah pembabitan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dalam membuat keputusan-keputusan mengenai kewangan 1MDB sepertimana yang termaktub di dalam Fasal 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB?

Bagaimana wang 1MDB sebanyak RM2.6 bilion dan wang SRC International sebanyak RM42 juta boleh masuk ke akaun peribadi Najib? Untuk apakah wang ini dibelanjakan dan siapakah penerima-penerima wang ini? Bagaimana Jho Low, Riza Aziz, Tarek Obaid dan beberapa orang pegawai 1MDB boleh mengumpulkan wang dan aset bernilai berbilion ringgit hasil urusniaga 1MDB? Apakah hubungan Jho Low dan Najib? Apa sebenarnya kandungan Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB sehinggakan laporan ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi?

Suruhanjaya ini juga boleh menyiasat apa yang telah terjadi kepada bukti-bukti yang telah dikumpulkan oleh Pasukan Petugas Khas siasatan 1MDB yang diketuai oleh mantan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail. Mengapa hingga ke hari ini tiada sebagang laporan daripada pasukan petugas khas ini yang didedahkan untuk pengetahuan umum? Jika laporan Pasukan Petugas Khas siasatan kerugian urusniaga matawang asing Bank Negara Malaysia yang berlaku 25 tahun dahulu boleh disiapkan dalam tempoh 4 bulan dan dibentangkan dalam kabinet, kenapa tiada sebarang laporan mengenai hasil siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas 1MDB dibentangkan dan dilaporkan kepada umum setelah 2 tahun berlalu? Kedua-dua pasukan petugas khas ini diwujudkan ketika Najib adalah Perdana Menteri.

Najib tidak perlu bersikap 'double-standard' dalam kedua-kedua kes ini. Jika dia benar-benar mahu mencari kebenaran, maka sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat penyelewengan 1MDB perlu ditubuhkan segera.

Siasatan ke atas IMDB bukan hanya berkisar tentang pembabitan Najib, tetapi ia juga merangkumi isu tadbir urus yang amat lemah sehingga menyebabkan kehilangan wang rakyat yang cukup besar melebihi RM50 bilion, kesan pecah amanah yang amat teruk dan nasib buruk yang menimpa rakyat. Apa lagi dengan pendedahan terkini oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan saman sivil yang sedang dilakukan untuk menyita dan seterusnya merampas aset-aset yang diperolehi secara haram dengan menggunakan wang 1MDB.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
23 Jun 2017