TUMPAT: Hampir 100 penyokong Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengisytiharkan sokongan tidak berbelah bahagi dan tekad memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Sokongan mereka itu diketuai Ketua Wirawati Putra Kelantan, Siti Masitah Nasir dan Ketua Wira Putra Tumpat, Afuan Ramzai apabila mereka akan bekerjasama membantu jentera BN di Parlimen itu.

Che Abdullah berkata, beliau bersyukur apabila mendapat sokongan daripada ahli Putra yang akan membantunya dalam tempoh kempen yang masih berbaki kurang daripada 48 jam.

Menurutnya, selain ahli Putra, beliau turut difahamkan ada beberapa pusat daerah mengundi gabungan parti lain di beberapa kawasan di sini ditutup hari ini apabila menyatakan sokongan kepadanya pada PRU15.

“Penyokong parti selain BN akhirnya sudah tidak terpedaya dengan segala tohmahan palsu terhadap saya. Mereka kini bersama saya dan BN untuk berjuang pada PRU15,” katanya pada sidang akhbar di Wakaf Bharu hari ini.

Sementara itu, Siti Masitah yang juga Ketua Penerangan Putra dan Ketua Wirawati Putra Tumpat berkata, beliau meletakkan semua jawatannya dalam parti itu berkuat kuasa hari ini.

Katanya, ramai ahli Putra akan memberi sokongan kepada BN selepas melihat Che Abdullah yang cakna kepada rakyat.

“Selepas membuat pemantauan beberapa kawasan di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tumpat, saya melihat Che Abdullah prihatin terhadap rakyat di sini.

“Saya dan rakan-rakan telah membuat keputusan untuk menyokong Che Abdullah yang bertanding atas tiket BN pada PRU15,” jelasnya. – UTUSAN

The post 100 penyokong Putra isytihar sokong calon BN Tumpat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *