SHAH ALAM: Seramai 1,199 masyarakat Orang Asli menerima bantuan kotak makanan berjumlah RM218,880 daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), hari ini.

Bantuan khas itu diberikan kepada mereka tanpa mengira agama yang mana setiap keluarga menerima bantuan kotak makanan kering seperti beras, susu, gula, tepung dan minyak masak bernilai RM120.

Timbalan Setiausaha MAIS, Nurhani Salwa Jamaluddin berkata, inisiatif itu antara usaha dakwah pihaknya dalam menyantuni masyarakat Orang Asli B40 dan membantu meringankan beban mereka.

“Daripada keseluruhan RM218,880, sejumlah RM150,000 diagihkan kepada 625 keluarga Orang Asli Islam dengan menggunakan sumber peruntukan wang fidyah MAIS.

“Sebanyak RM68,880 pula diagihkan kepada 574 keluarga bukan Islam menerusi sumber peruntukan Baitulmal,” katanya.

Majlis simbolik penyerahan replika cek itu diserahkan beliau kepada Timbalan Setiausaha (Operasi) MAIS kepada Penolong Pengarah Kanan Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Kampung Orang Asli Gombak, Gombak, pagi tadi.

Tambah Nurhani Salwa, pihaknya sudah mengagihkan wang fidyah berjumlah RM3.3 juta dengan melibatkan seramai 20,931 keluarga penerima yang layak.

“MAIS berharap sumbangan itu dapat membantu mengurangkan beban setiap keluarga kaum pribumi itu dalam meringankan kos perbelanjaan seharian.

“Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php,” ujarnya. – UTUSAN

The post 1,199 Orang Asli terima bantuan MAIS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *