PORT DICKSON: Lebih daripada 120,000 orang telah mengunjungi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2022 yang telah diadakan di sini sejak 24 November lalu dan berakhir hari ini.

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Arifin Zakaria, daripada jumlah tersebut mana, 17,000 pengunjung terdiri daripada kanak-kanak dan pelajar sekolah.

“Saya amat berbesar hati kerana MSAM di Port Dickson ini turut menarik minat pengunjung muda. Saya difahamkan sepanjang MSAM  diadakan, lebih daripada 120,000 orang ramai telah mengunjungi di mana sejumlah 17,000 pengunjung terdiri daripada kanak-kanak dan pelajar sekolah. 

“Alhamdulillah, ini membantu usaha PNB melahirkan lebih ramai masyarakat yang celik kewangan khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Penutup MSAM 2022 di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, di sini malam ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

AMINUDDIN Harun mencuba peralatan yang dipamerkan ketika majlis penutup MSAM 2022 di Kawasan Lapang Pantai Batu 1, Port Dickson, malam ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Arifin dalam pada itu menambah, PNB turut mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa elemen kelestarian dalam pameran MSAM 2022 selari dengan tema yang diketengahkan iaitu Melestarikan Pelaburan Ke Arah Masa Hadapan Mampan.

“Ia seperti penggunaan panel solar yang telah membekalkan tenaga elektrik untuk lampu-lampu di sepanjang 150 meter laluan utama koridor khemah dan dapat menjimatkan hampir 25 peratus penggunaan tenaga elektrik.

“Difahamkan juga sehingga lewat petang semalam lebih 10 kilogram botol minuman plastik dan tin aluminium telah berjaya dikumpulkan dan dimasukkan oleh pengunjung ke dalam mesin Bin-Less & Earn,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, pihak kerajaan negeri merakamkan penghargaan kerana PNB telah memilih Port Dickson sebagai lokasi pertama penganjuran MSAM secara fizikal atau bersemuka, setelah penganjurannya diadakan secara maya sejak dua tahun lepas akibat daripada pandemik Covid-19.

“Ternyata sekali, penganjuran semula secara fizikal pada tahun ini masih berjaya menarik orang ramai datang dan melihat sendiri keteguhan syarikat-syarikat pelaburan PNB yang mana wang mereka dilaburkan melalui unit-unit amanah yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

“Saya yakin dan percaya, bukan hanya sekadar dapat berhibur dengan pameran, program dan pelbagai hadiah menarik yang telah dimenangi pengunjung, semua yang hadir juga telah mendapat banyak manfaat daripada aspek pelaburan dan perancangan kewangan,” ujarnya.-UTUSAN.

 

The post 120,000 orang kunjungi MSAM 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *