SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA merupakan sebuah negara dengan kepelbagaian bangsa. Seluruh dunia mempersoalkan bagaimana Malaysia mampu mengekalkan keharmonian yang hampir satu abad sejak kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Mengekalkan keamanan merupakan tanggungjawab besar kepada setiap individu untuk mengelak daripada berlaku sebarang peperangan dalam negara. Walaupun terdapat juga beberapa perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap bangsa–bangsa tertentu, namun ada jalan penyelesaian seperti bermesyuarat atau bercakap dengan baik secara bersemuka.

Peristiwa 13 Mei 1969 mengajar kita untuk tidak bersengketa kerana kepelbagaian bangsa seharusnya menjadi kebanggaan kerana bukan semua negara di dunia ini mampu hidup harmoni dalam diversiti.
Media sosial boleh menjadi salah satu tempat perhubungan bukan sahaja dari dalam negara malah seluruh dunia. Namun ada segelintir yang menyebarkan perkara negatif, hal ini haruslah dielakkan demi kemaslahatan bersama. Sebagai pengguna media sosial seharusnya tahu tentang etika seperti menyebarkan kebaikan dan tidak menabur fitnah terutama kepada bangsa lain untuk menjaga perpaduan sejagat.

Kita harus sedar bahawa kepelbagaian budaya bukan menjadi bahan ejekan atau untuk saling merendah–rendahkan tetapi membawa diri untuk melihat betapa indah ciptaan Allah yang tiada tara.

Sebagai generasi yang bakal memimpin di masa akan datang seharusnya mengambil iktibar daripada perjalanan ilmuan Islam sebagai contoh dan tauladan untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Dengan adanya sifat kepimpinan berasaskan Islam dapat menyangkal sebarang iklim intelektual dari barat yang kian menjadi–jadi sehinggakan syariah Islamiyah itu sendiri hanya sekadar menjadi bahan bacaan tapi bukan amalan.

Di samping itu, kita seharusnya lebih membuka mata tentang Islam dengan menghindarkan diri daripada adat penyelewengan yang menyimpang dengan penyahbaratan iaitu pembebasan struktur ilmu yang mendatangkan kekeliruan dari Barat. Dengan adanya generasi ilmuwan Islam ini dapat menangkis sebarang penyelewengan Barat agar persepakatan negara bangsa dan kesejagatan dapat dipupuk di negara kita, sekali gus, mengekalkan dan memelihara kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.-UTUSAN

AISYAHTUL ASSHYURA LAJIS & PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

The post 13 Mei 1969 ajar masyarakat tidak bersengketa appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *