JASIN: Seramai 150 bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai mengumumkan menyokong dan membantu calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Mutalib Che Man berkata, keputusan tersebut diambil susulan sebahagian besar ahli Bersatu Bahagian Jasin dan seluruh kepemimpinan Srikandi Melaka mengumumkan keluar parti pada 5 November lalu.

“Selepas pengumuman tersebut seluruh ahli di empat cawangan iaitu Sungai Rambai, Parit Perawas Benteng, Sebatu dan Serkam menyatakan sokongan dan akan memenangkan calon BN bertanding di Jasin.

“Selepas ini ramai lagi bekas ahli Bersatu khususnya bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Jasin, Mustaffar Ahmad dan Ketua Srikandi Bahagian, Azalina Abdul Rahman serta ramai ahli akan turut menyokong BN. Tunggulah masa sesuai untuk mereka akan umumkan.

“Kami berikrar akan membantu kempen calon BN sehingga hari mengundi pada 19 November dan kita akan pastikan Roslan menang besar kali ini,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan BN Parit Putat, Sungai Rambai di sini.

Sementara itu, Roslan mengalu-alukan keputusan dibuat mereka untuk menyokong dan membantu kempennya bagi memastikan Parlimen Jasin terus kekal dimenangi BN.

Beliau berkata, kumpulan yang diterajui Azalina selaku bekas Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Melaka juga berhasrat untuk turut serta menyokong kemenangan BN.

“Hari ini saya rasa bersyukur apabila rakan-rakan kita daripada Bersatu ingin bersama-sama dan menyokong saya berhadapan lawan pada PRU15 ini, insya-Allah dengan komitmen mereka BN boleh menang besar.

“Saya ada berjumpa Azalina dan berunding secara tidak rasmi. Dia memang mahu menyokong kempen saya, namun meminta sedikit ruang sebelum mengumumkan pendiriannya,” katanya. – UTUSAN

The post 150 bekas ahli Bersatu ikrar menangkan calon BN di Jasin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *