PORT DICKSON: Seramai 15,048 orang warga tentera dan pasangan mereka terlibat dalam pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di seluruh Negeri Sembilan hari ini.

Panglima 1 Briged, Brig. Jen. Datuk Mohd. Saifulisham Baharun berkata, kesemua anggota tentera dari tiga cabang ketenteraan itu menjalankan tanggungjawab mereka di pusat-pusat pengundian awal di lima buah Parlimen di seluruh negeri.

“Bagi Parlimen Rasah, terdapat seramai 1,622 tentera dan pasangan (Kem 1 Briged), Parlimen Seremban 33 orang (Rejimen 508 Askar Wataniah), Parlimen Port Dickson pula melibatkan 4,525 anggota Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) dan 2,333 anggota Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MPLDTD). 

“Bagi Parlimen Rembau seramai terdapat seramai 736 orang anggota di 15 Rejimen Askar Melayu Diraja dan 970 orang di Pangkalan Udara Sendayan manakala bagi Parlimen Tampin seramai 4,828 anggota di Kem Syed Sirajuddin, Gemas terlibat dalam proses pengundian awal bagi seluruh negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kem Segenting, di sini hari ini. 

SEORANG anggota tentera turut membawa bersama anaknya ketika mengundi bagi proses pengundian awal PRU15 yang dijalankan di Pusat Pengundian Awal, Dewan Serbaguna Kem Segenting, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Menurutnya, secara umum persiapan di lokasi pusat pengundian awal adalah mengikut seperti mana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Sementara itu, pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna Kem Segenting di sini turut menjadi tumpuan calon-calon bagi Parlimen Port Dickson yang hadir untuk melihat proses pengundian awal hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk P. Kamalanathan tiba pada pukul 10 pagi diikuti calon Perikatan Nasional (PN) Rafiei Mustapha 30 minit kemudian, calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah yang hadir pada pukul 10.40 pagi dan seterusnya calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Aminuddin Harun pada pukul 11.30 pagi.

Daripada keseluruhan 104,450 orang pengundi di Parlimen Port Dickson, 7,379 orang merupakan pengundi awal.-UTUSAN.

 

The post 15,048 tentera, pasangan mengundi awal di Negeri Sembilan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *