PUTRAJAYA – Seramai 1,817 mangsa banjir daripada 488 Ketua Isi Rumah (KIR) ditempatkan di 22 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam negeri setakat 4 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, ia membabitkan sembilan daerah di Selangor, Kelantan dan Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) semalam mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) sehingga hari ini untuk Kelantan dan Terengganu.

“Kawasan yang berpotensi menerima impak ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan dan Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun. 

“MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir bagi Perlis, Kedah, Perak, Pahang. Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak. 

“Situasi ini dikuatiri turut menyumbang kepada situasi banjir semasa terutama di kawasan Pantai Barat Semenanjung,” katanya.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini turut mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Kemungkinan Banjir Kilat dalam tempoh 12 jam akan datang bagi Johor (Batu Pahat, Johor Bahru, Pontian, Kota Tinggi).

Jelasnya lagi, amaran sama turut membabitkan Terengganu (Dungun), Kedah ( Kota Setar, Kuala Muda, Yan), Sabah ( Papar, Tuaran), Sarawak dan Selangor (Kiang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Sepang). 

“Banjir diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan dan amaran dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutama di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan siap siaga,” katanya.

Dalam pada itu, Nadma berkata, JPS menghantar pam ke kawasan Meru, Kelang bagi membantu mempercepatkan aliran air keluar ke sungai daripada kawasan banjir.

Katanya, air di kawasan kediaman masih tinggi dan usaha berkenaan diharapkan dapat membantu proses pengeringan. 

“Bagi Kelantan pula, setakat pukul 6 petang tadi, dua jajahan iaitu Pasir Mas dan Tanah Merah masih terkesan banjir,” katanya. – UTUSAN

The post 1,817 mangsa banjir di enam negeri  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *