JAKARTA: Sebuah bot membawa 185 pelarian Rohingya dilaporkan mendarat di pantai wilayah Aceh, Indonesia semalam, lapor agensi bencana tempatan.

Kumpulan terbaharu itu menyusuli ratusan yang tiba lewat tahun lalu selepas melarikan diri dari keadaan sesak di kem pelarian di Bangladesh.

Ketua Agensi Bencana Aceh Besar, Ridwan Jamil berkata, separuh daripada mereka yang tiba sekitar jam 2.30 petang semalam merupakan wanita dan kanak-kanak.

Dilaporkan ratusan pelarian Rohingya tiba di Aceh sejak beberapa bulan lalu, termasuk sebuah bot membawa 174 orang yang terdampar di darat pada akhir Disember lalu.

Menurut agensi berita Antara, nelayan di Aceh turut melaporkan melihat tiga bot yang disyaki membawa pelarian Rohingya di perairan berhampiran Pulau Rondo kelmarin namun tidak jelas sama ada bot yang mendarat itu adalah salah satu daripadanya.

Sejak beberapa tahun lalu, pelarian Rohingya melarikan diri ke negeri jiran seperti Thailand dan Bangladesh serta negara majoriti beragama Islam termasuk Malaysia dan Indonesia.

Kumpulan hak asasi manusia mencatatkan peningkatan yang ketara dalam jumlah yang meninggalkan kem Bangladesh sehinga kini.

Tidak jelas punca yang mendorong perkara itu, tetapi beberapa aktivis percaya penarikan sekatan Covid-19 di seluruh Asia Tenggara mungkin menjadi antara faktor utama.-REUTERS

The post 185 pelarian Rohingya mendarat di Aceh appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *