KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai pasukan petugas khas bagi menyelesaikan beberapa isu membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ini terutamanya dalam menyelesaikan isu berhubung tuntutan kerajaan terhadap Goldman Sachs bernilai AS$2.5 bilion.
Memetik laporan Bloomberg beliau dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini kerajaan Malaysia telah mencapai penyelesaian dengan bank pelaburan antarabangsa itu pada tahun 2020 ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi jumlah lebih rendah daripada apa yang dipersetujui ketika di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Saya sendiri malu dengan keputusan terbabit. Amat sedikit ketika persefahaman itu dibuat. Goldman Sachs mengaut keuntungan daripada kerja keras kita,” kata Anwar di Dewan Rakyat semalam seperti dilaporkan Bloomberg.
Pada 2020, kerajaan pimpinan Muhyiddin mencapai penyelesaian dengan Goldman Sachs dengan bank pelaburan itu hanya membayar AS$2.5 bilion kepada kerajaan dan memberi jaminan pulangan aset 1MDB yang dirampas di seluruh dunia, bernilai AS$1.4 bilion.
The post 1MDB: Johari Ghani ketuai pasukan petugas khas selesaikan tuntutan dengan Goldman Sachs appeared first on Utusan Malaysia.