KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah rumah inap desa di Kajang, Selangor sebagai stor simpanan dadah pada 13 Oktober lalu.

Op Leslie yang bermula pukul 12 tengah hari hingga pukul 3.15 petang itu dijalankan hasil maklumat susulan tangkapan lima individu di sebuah kondominium di Taman Desa, di sini, pada 11 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, susulan itu, pihaknya membuat serbuan di sebuah restoran di Desa Sri Hartamas yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

“Dalam serbuan kedua di hadapan pos pengawal sebuah taman perumahan di Bandar Damai Perdana pula, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun.

“Hasil tangkapan itu, kita membuat serbuan di sebuah unit kediaman inap desa di Bandar Damai Perdana yang menempatkan 206 bungkusan teh cina mengandungi dadah jenis syabu seberat 213 kilogram dan 112,000 pil erimin 5 seberat 33 kilogram,”katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari  ini.

Azmi berkata, pihaknya turut membuat sitaan harta membabitkan wang tunai sebanyak RM70,000 dan dua kereta jenis Toyota Altis serta sebuah kereta Kia Forte.

Kata beliau, ia menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah yang boleh dibekalkan kepada 538,000 penagih itu serta sitaan harta berjumlah RM10.1 juta.

“Siasatan awal dilakukan mendapati sindiket berkenaan menjadikan inap desa itu sebagai stor simpanan dadah sejak dua bulan lalu yang disewa pada harga RM280 sehari. 

“Kami percaya sindiket ini sentiasa mengubah lokasi simpanan dadah yang dipercayai diperoleh dari utara tanah air itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.

Kata Azmi, pihaknya percaya dadah berkenaan dipasarkan di sekitar Lembah Klang. Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada ia dijual bagi pasaran luar Lembah Klang atau luar negara.

Jelasnya, semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati kedua-dua suspek berkenaan positif dadah jenis methamphetamine. 

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 hingga 21  Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, usaha mengesan saki baki ahli sindiket ini sedang giat dijalankan. – UTUSAN

The post 2 ditahan, dadah bernilai RM10 juta dirampas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *