DOHA: Perancis melaungkan amaran awal sebagai penyandang juara Piala Dunia dengan membenam Australia 4-1 dalam aksi kumpulan D yang berlangsung di Stadium Al-Janoub sebentar tadi.

Skuad kendalian Didier Deschamps yang kehilangan beberapa tonggak penting untuk kempen Piala Dunia kali ini dikejutkan dengan gol awal Australia yang dijaringkan Craig Goodwin pada minit kesembilan dan ia merupakan gol terpantas dijaringkan untuk edisi Piala Dunia kali ini.

Pemain Australia, Craig Goodwin (kiri) menjaringkan gol pembukaan ketika perlawanan menentang Perancis untuk saingan kumpulan D Piala Dunia Qatar 2022 (AFP)

Malang buat Perancis apabila pemain pertahanan, Lucas Hernandez mengalami kecederaan kaki kanan ketika cuba untuk menghalang gerakan gol tersebut dan terpaksa digantikan dengan adiknya, Theo Hernandez.

Kemasukan Hernandez membawa hasil positif apabila hantaran silangnya pada minit ke 28 ditanduk kemas Adrien Rabiot untuk menyamakan kedudukan menjadi 1-1.

Gol tersebut menyemarakkan lagi semangat pemain Les Blues dan berselang lima minit kemudian, giliran Olivier Giroud mencatat nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan hantaran daripada Rabiot untuk meletakkan Perancis di hadapan 2-1 sehingga tamat babak pertama.

Perancis tampil lebih garang di separuh masa kedua dan penyerang sensasi, Kylian Mbappe berjaya memanfaatkan peluang untuk menanduk masuk gol ketiga Perancis pada minit ke 69.

Belum sempat Australia menyusun kembali strategi mereka, Perancis tidak menunggu lama apabila hanya memerlukan seminit sahaja untuk Giroud sekali lagi meledak, dengan menanduk masa hantaran Kylian Mbappe untuk kedudukan kini menjadi 4-1.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus menyaksikan mereka kini menerajui kumpulan D diikuti Tunisia dan Denmark yang terpaksa berkongsi satu mata.

 

 

 

 

The post 2 gol Giroud bantu Perancis berpesta benam Australia appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *