PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) 45/2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 22 kes atau 1.3 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada minggu ini, sejumlah 1,715 kes dilaporkan berbanding 1,693 kes pada ME 44/2022 dengan dua kematian dicatatkan akibat komplikasi demam denggi.

Menurutnya, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah berjumlah 52,977 kes berbanding 22,581 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 30,396 kes atau 134.6 peratus.

“Manakala sebanyak 37 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh yang sama pada 2021 iaitu peningkatan sebanyak 19 kematian (105.6 peratus).

“Jumlah lokaliti hotspot terus meningkat sebanyak 68 lokaliti dilaporkan pada minggu ini berbanding 50 lokaliti hotspot minggu sebelumnya dengan 38 lokaliti di Selangor, 18 lokaliti di Sabah, 10 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala satu lokaliti masing-masing di Perak serta Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak enam kes pada minggu ke-45 dengan tiga kes di Pulau Pinang, dua kes di Selangor dan satu kes di Perak dengan jumlah kumulatif sehingga kini sebanyak 688 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 1,800 sampel darah dan 16 sampel urin disaring dan hasil kesemuanya adalah negatif,” ujarnya.

Jelas Noor Hisham, nyamuk Aedes merupakan nyamuk aktif pada waktu siang dengan puncak gigitan di antara pukul 5 sehingga 7 pagi dan lewat petang iaitu di antara 5 hingga 7 petang.

Justeru katanya, pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini, antara langkah berjaga-jaga yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko digigit nyamuk Aedes adalah dengan memakai pakaian berwarna cerah serta menutup anggota badan.

“Selain itu, gunakan bahan repelan pada bahagian anggota badan yang terdedah supaya tidak digigit nyamuk dan pastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan di kawasan persekitaran sebelum meninggalkan rumah bagi tujuan mengundi di kampung halaman,” ujarnya. – UTUSAN

The post 2 maut komplikasi denggi minggu ini appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *