SEREMBAN: Sebanyak 20 saman dikeluarkan polis Negeri Sembilan dalam Op Khas Penjaja yang dijalankan di beberapa persimpangan lampu isyarat di sekitar Seremban dan Nilai, di sini, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, operasi yang dijalankan kira-kira pukul 4 petang semalam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan Nilai.

Jelasnya, ia susulan daripada aduan orang awam berkaitan aktiviti penjaja di persimpangan lampu isyarat.

“Lokasi yang terbabit dalam operasi tersebut adalah seperti persimpangan lampu isyarat Seremban Gateway Jalan Sungai Ujong, lampu isyarat Ainsdale, lampu isyarat Jalan Rasah (Tol Seremban-Port Dickson arah utara dan Selatan) dan lampu isyarat Jalan Dato Muda Linggi di sini

“Di daerah Nilai pula iaitu di lampu isyarat Tol Nilai, lampu isyarat Nilai Impian (Petron), lampu isyarat Jalan Nilai Salak, lampu isyarat Kota Seriemas, lampu isyarat Kampung Jijan dan lampu isyarat Jalan Persiaran Pusat Bandar.

“Hasil daripada operasi ini, 20 saman telah dikeluarkan ke atas 19 individu yang menjalankan aktiviti menjaja di lokasi persimpangan lampu isyarat di mana 18 saman dikeluarkan di bawah Kaedah 10(A)(1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59) dan dua saman dikeluarkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Ahmad Dzaffir, bagi kesalahan di bawah Kaedah 10(A)(1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (LN 166/59), individu yang terlibat dalam urusan jual beli boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabitkan kesalahan.

Menurutnya lagi, Op Khas Penjaja Jalanan ini dijalankan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.-UTUSAN.

The post 20 kena saman dalam Op Khas Penjaja di lampu isyarat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *