LAS TEJERIAS: Sekurang-kurangnya 25 orang maut dan lebih 50 lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Venezuela.

Tanah runtuh tercetus disebabkan limpahan air sungai merupakan kejadian bencana baharu akibat hujan lebat yang melanda negara itu.

Sejumlah bangunan kediaman dan premis perniagaan terjejas dalam bencana itu sehingga menyebabkan bandar Las Tejerias dipenuhi lumpur dan serpihan, termasuk pokok tumbang, barangan rumah dan kereta rosak.

Menurut Naib Presiden, Delcy Rodriguez, kerosakan ketara berlaku di beberapa lokasi terjejas.

Menteri Dalam Negeri, Remigio Ceballos pula memaklumkan kira-kira seribu orang menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian.

“Malangnya, setakat ini, sekurang-kurangnya 25 orang maut dalam bencana itu.

“Malah, lebih 52 mangsa juga masih hilang,” katanya sambil menambah operasi mencari sedang giat dijalankan.

Puluhan kes kematian direkodkan susulan pelbagai kejadian bencana akibat taburan hujan yang tinggi dalam sejarah negara Amerika Selatan itu, sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Presiden Nicolas Maduro mengisytiharkan tiga hari berkabung susulan insiden tanah runtuh yang mengorbankan 25 mangsa.

Selain itu, katanya, pasukan bantuan kini sedang menyalurkan bantuan kecemasan. – AFP

The post 25 maut, 50 hilang tanah runtuh di Venezuela appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *