KUALA SELANGOR: Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) bakal merekodkan peningkatan jumlah kenderaan sehingga 30 peratus susulan pengecualian bayaran tol bagi sambutan Tahun Baharu Cina bermula hari ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, sebanyak 250,000 kenderaan akan menikmati tol percuma sepanjang 33 kilometer laluan bermula dari Templer Park, Rawang ke Ijok, di sini.

“Latar sudah bersiap sedia menerima pertambahan jumlah kenderaan itu dengan memastikan urusan perjalanan pengguna ke kampung halaman dalam keadaan selamat dan selesa.

“Selain itu, petugas peronda jalan raya  bersiap siaga 24 jam memastikan kelancaran trafik, bantuan kerosakan kenderaan atau kemalangan di lebuhraya ini,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pengecualian bayaran tol akan diberikan kepada pengguna lebuh raya seluruh negara melibatkan semua kelas kenderaan pada hari ini dan esok.

Pengecualian bayaran selama dua hari itu meliputi peruntukan kerajaan berjumlah RM40 juta.

Tambah Ahmad Fuad, pengguna jalan raya dinasihatkan memandu secara berhemah dan berwaspada terutama ketika peningkatan jumlah kenderaan.

“Pemandu perlu memastikan kesihatan mereka dalam keadaan baik selain kenderaan mereka diselenggara. Kami berharap pengguna jalan raya berwaspada dengan keadaan sekeliling terutama keadaan trafik dan hujan bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya. – UTUSAN

The post 250,000 kenderaan bakal banjiri Latar appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *