KUALA LUMPUR: Seramai 27 menteri selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Kesemua jemaah menteri dipecahkan kepada enam kumpulan dalam  Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia tersebut.

Majlis angkat sumpah itu dimulakan dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Turut bersama mengangkat sumpah bersama Ahmad Zahid ialah Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Perladangan dan Komoditi pada pukul 3.19 petang.

Majlis diteruskan dengan kumpulan kedua diketuai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan) dan Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan).

Selain itu beberapa muka baharu turut mengangkat sumpah antaranya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Dalam Negeri), Chang Lih Kang (Menteri Sains dan Teknologi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Menteri Komunikasi Digital).

Lima lagi muka baharu ialah Fadhlina Sidek (Menteri Pendidikan), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar (Menteri Agama), V. Sivakumar (Menteri Sumber Manusia), Dr Zaliha Mustafa (Menteri Kesihatan) dan Datuk Armizan Mohd Ali (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Sabah dan Sarawak).

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai anggota kabinet baharu yang terdiri daripada Pakatan Harapan, (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). –UTUSAN

The post 27 Jemaah Menteri selesai angkat sumpah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *