ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 28 orang maut dan puluhan lagi masih terperangkap di bawah tanah dalam kejadian letupan di lombong arang batu di wilayah Bartin, utara Turki.

Lapor BBC, ketika kejadian, kira-kira 110 orang sedang bekerja di lombong arang batu, yang mana hampir separuh pekerja berkenaan berada pada kedalaman lebih 300 meter.

Menurut Menteri Kesihatan Turki, Fahrettin Koca, seramai 11 orang berjaya diselamatkan dan sedang menerima rawatan di hospital.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap diteruskan.

Rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat membawa keluar pekerja di lombong di Amasra di pantai Laut Hitam.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata, letupan itu dipercayai berlaku pada kedalaman kira-kira 300 meter.

Katanya, kira-kira 49 orang bekerja di zon `berisiko’ antara 300 hingga 350 meter di bawah tanah.

“Ada mangsa yang tidak dapat dipindahkan dari kawasan berkenaan,” katanya kepada wartawan di lokasi kejadian.

Punca letupan masih belum diketahui dan pejabat pendakwa raya sudah memulakan siasatan terhadap insiden itu.

Terdahulu, Menteri Tenaga Turki memaklumkan, letupan berkemungkinan berpunca daripada lembapan api, yang merujuk kepada gas mudah terbakar yang terdapat di lombong arang batu itu.

Sementara itu, Datuk Bandar Amasra, Recai Cakir berkata, kebanyakan mangsa yang terselamat mengalami kecederaan parah.

The post 28 maut, puluhan terperangkap letupan lombong arang batu di Turki appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *