JOHOR BAHRU: Sebanyak 25 buah rumah di Kampung Rinting D, Taman Rinting, di sini dilanda banjir kilat berikutan limpahan air dari sungai Seri Alam ekoran hujan lebat.

Hujan lebat kira-kira pukul 1 petang itu menyebabkan paras air sungai tersebut naik dengan cepat sehingga melimpah ke kawasan perumahan itu sehingga paras lutut.

Seorang penduduk, Suratmin Alwi, 47, berkata, hujan lebat menyebabkan kampung itu dilanda banjir hanya setelah kira-kira 30 minit.

“Sudah tiga kali banjir berlaku hanya disebabkan sungai yang sempit dan tidak dipantau oleh mana-mana pihak.

“Walaupun telah dibuat benteng batu, tetapi setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir kerana arus air tersekat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Suratmin meminta pihak yang bertanggungjawab terutamanya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya selalu memantau keadaan sungai di situ sama ada kejadian tebing runtuh, sampah dan rumput yang tidak dipotong di sepanjang sungai.

Hujan lebat itu turut menyebabkan beberapa jalan utama termasuk Lebuh Raya Pasir Gudang berhampiran susur masuk ke Taman Rinting dan Bandar Seri Alam dilanda banjir dan berlaku kesesakan.

Selain di Seri Alam, beberapa kawasan turut mengalami banjir kilat, antaranya Jalan Tampoi, Kampung Kurnia, Kampung Ubi dan Jalan Masai Lama.

Banjir kilat itu juga menyebabkan beberapa buah kereta terkandas dan ditenggelami air di Lebuh Raya Pasir Gudang selain memberhentikan kenderaan di tepi jalan setelah terputus hubungan jalan raya.

Dalam pada itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, terdapat empat buah rumah di Kampung Ubi terjejas akibat dinaiki air pada pukul 2.35 petang.

Walau bagaimanapun, hingga pukul 4 petang tiada pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir dibuka. – UTUSAN

The post 30 minit hujan lebat sebabkan banjir kilat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *