HULU TERENGGANU: Seramai kira-kira 30 penyokong pasukan bola sepak Matang FC menentang Binjai Manis FC bergaduh di luar padang selepas perlawanan suku akhir merebut Piala Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu di Padang Astaka Kuala Berang di sini, semalam.

Insiden yang dipercayai berpunca daripada provokasi penyokong kedua-dua pasukan di tepi padang kemudiannya berlarutan ke dalam sebuah kedai makan berhampiran.

Pada perlawanan akhir itu pasukan Matang FC berjaya layak ke separuh akhir selepas menewaskan Bima 1-0. 

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, kekecohan itu telah menyebabkan kerosakan melibatkan pagar padang dan cermin dinding kedai makan berkenaan.

“Sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian untuk meleraikan pergaduhan  berkenaan pada pukul 6.55 petang,” katanya ketika dihubungi sini, hari ini.

Mohd. Adli berkata, kekecohan tersebut berjaya dileraikan tidak lama kemudian dan tiada kecederaan melibatkan individu terlibat dilaporkan.

Tambah beliau, setakat ini tiada tangkapan dilakukan lagi tetapi pihak penganjur dan pengurusan kedua-dua pasukan terlibat telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah melahirkan rasa kesal dengan insiden pergaduhan melibatkan dua penyokong pasukan bola sepak amatur berkenaan.

“Sepatutnya bola sepak menjadi sukan yang menyatukan dan merapatkan lagi hubungan di antara kita, bukan memberikan imej yang buruk, mencemarkan sukan di negeri serta negara,” katanya.

Tambahnya, beliau menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan berhubung kejadian pergaduhan tersebut. –UTUSAN

The post 30 penyokong pasukan bola sepak bergaduh di luar padang  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *