PETALING JAYA: Kira-kira 300 ahli Sekretariat Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Islam berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur, dekat sini, semalam.

Himpunan Solidariti Menyokong Institusi Presiden UMNO itu diadakan susulan tindakan segelintir pemimpin parti yang mendesak beliau meletak jawatan selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Waris Pertubuhan Pekembar Perlis, Shahbudin Embun berkata, Ahmad Zahid banyak berjasa kepada UMNO dan hanya bergerak berseorangan untuk mengembalikan imej baik parti tanpa sokongan padu daripada rakan-rakan dalam parti.

“Ketika menang, sama-sama gembira, ketika kalah semua dengan mudah menuding jari kepada Presiden,” katanya dalam sidang akhbar
Shahbudin berkata, paling penting sekarang adalah mereka perlu memberi peluang kepada calon-calon muda untuk meneruskan legasi perjuangan UMNO.

Sementara itu, Timbalan Presiden Waris Berkembar, Datuk Zein Isma Ismail berkata, meletakkan kesalahan hanya kepada Presiden adalah tidak wajar dan adil.

“Ahli-ahli BN yang tidak puas hati dan menuding jari hanya kepada Presiden ini, saya rasa tak adil dan wajar.

“Kita perlu selidik kembali siapa yang buat kenyataan tidak berasas dan biadab ketika pilihan raya kerana kenyataan daripada sebahagian pemimpin ini telah merosakkan nama serta maruah parti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, satu lagi demonstrasi dikatakan mahu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) bagi menyatakan bantahan kepada Ahmad Zahid dan meminta beliau meletak jawatan daripada Presiden UMNO.

Himpunan Selamatkan UMNO #undurzahid itu dijadual diadakan di lobi WTC pada pukul 2 petang semalam, namun sehingga pukul 5 petang tiada perhimpunan diadakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, kawalan keselamatan di WTC ditingkatkan bagi mengelak sebarang aktiviti himpunan atau protes tanpa permit.

Katanya, pemantauan berterusan digerakkan dengan melibatkan seramai 260 anggota dan pegawai bagi memantau seluruh kawasan itu. – UTUSAN

 

The post 300 berhimpun sokong Presiden UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *