TENOM: Seramai 300 orang penyokong Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) cuba merempuh dan masuk ke dalam pusat penamaan calon di Dewan DSP Antanom pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, penyokong kepada Presiden KDM, Datuk Peter Anthony menimbulkan kekecohan selepas pencalonan presiden parti mereka ditolak.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, rusuhan itu berpunca daripada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menolak borang pencalonan Peter untuk bertanding di kerusi P.181 Tenom dengan alasan calon tersebut masih mempunyai kes mahkamah yang belum selesai.

“Akibat tidak berpuas hati, seramai 300 orang penyokong cuba merempuh dan masuk ke dalam dewan.

“Pihak keselamatan yang terdiri daripada anggota Unit Tempur Ringan (LSF) dan Tugas Am yang dibantu oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah bertindak menyuraikan penyokong-penyokong dari memasuki dewan.

“Malah, satu perbincangan telah diadakan antara peguam yang mewakili Peter, pegawai SPR dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar satu keputusan dapat diambil bagi memastikan penyokong tidak bertindak liar dan seterusnya mematuhi arahan pasukan keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom hari ini.

Idris berkata, apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu keluar dari dewan pada pukul 12.32 tengah hari, Peter berjaya menenangkan penyokong partinya agar menerima keputusan yang dibuat oleh pihak SPR itu.

Namun, Peter turut membuat satu laporan polis kerana tidak berpuas hati terhadap penolakan beliau sebagai calon untuk bertanding kerusi Parlimen Tenom bagi membolehkannya mengambil tindakan susulan.

Menurut Idris, semasa pengumuman rasmi calon dibuat pada pukul 2.20 petang hanya lima calon akan bertanding di kerusi P.181 Tenom iaitu Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar daripada Barisan Nasional, Ukim Buandi daripada Parti Warisan (Warisan) dan dua calon Bebas iaitu Riduan Rubin dan Peggy Chaw Zhi Ting.

Jelas beliau, kebanyakan penyokong yang terlibat dalam kekecohan itu telah pun dipanggil dan diberi nasihat agar tidak menimbulkan provokasi dan mengganggu ketenteraman awam.

Walau bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dibuat setakat ini sebaliknya, hanya ada satu laporan polis yang dibuat oleh calon yang terlibat (Peter).

“Bagi pihak keselamatan, apa juga laporan polis yang kita terima, kita akan jalankan siasatan,” katanya.

Keadaan keselamatan di pusat penamaan calon kembali terkawal pada pukul 2.38 petang dan semua penyokong beredar meninggalkan dewan. –UTUSAN

The post 300 penyokong parti KDM cuba rempuh masuk pusat penamaan calon appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *