PATNA: Sekurang-kurangnya 31 orang maut dan beberapa lagi dimasukkan ke hospital akibat minum arak beracun di timur India.

Memetik laporan Daily Mail, pihak berkuasa memaklumkan kebanyakan mangsa meninggal dunia berasal dari dua buah perkampungan di Bihar.

Bihar merupakan antara negeri di India yang mengharamkan penjualan dan pengambilan minuman keras.

Larangan sama turut terpakai di beberapa negeri sehingga mendorong wujudnya pasaran gelap yang menjual arak haram pada harga murah dan mengakibatkan ratusan kematian setiap tahun.

Menurut pihak berkuasa, beberapa mangsa di daerah Saran dilaporkan muntah berkali-kali sebelum keadaan mereka bertambah teruk.

Tiga orang meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala yang lain pula maut ketika menerima rawatan, dengan media tempatan melaporkan angka kematian mencecah 31 orang.

Bagaimanapun, pengarah hospital, Sagar Dulal Sinha berkata, setakat ini, sebanyak 22 bedah siasat sudah dijalankan.

Sementara itu, pegawai kanan polis, Santosh Kumar berkata, pihak berkuasa menyerbu beberapa premis yang menjual minuman keras haram di kawasan berkenaan.

“Kami juga menahan puluhan penjual arak serta beberapa individu lain,” katanya. AGENSI/AFP

The post 31 maut minum arak beracun di India appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *