PUTRAJAYA: Sejumlah 33 kematian dilaporkan akibat komplikasi denggi setakat ini berbanding hanya 16 kematian bagi tempoh sama pada tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 17 kematian atau 106 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kumulatif kes demam denggi dilaporkan sehingga kini pula sebanyak 49,569 kes berbanding 21,707 kes bagi tempoh sama iaitu peningkatan sebanyak 27,862 kes.

“Pada Minggu Epidemiologi ke-43 tahun ini, jumlah kes demam denggi dilaporkan sebanyak 1,460 berbanding hanya 1,614 kes pada minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 154 kes.

“Selain itu, sebanyak empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-43 tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, lokaliti hot spot yang dikesan ialah 56 lokaliti berbanding 51 lokaliti pada minggu sebelumnya menyaksikan peningkatan sebanyak lima lokaliti. 

Daripada 56 lokaliti tersebut, kata beliau, 35 lokaliti hot spot berada di Selangor, Sabah (15), Kuala Lumpur (4), Putrajaya (4), dan masing-masing satu lokaliti di Negeri Sembilan serta Melaka.

“Survelan Chikungunya turut merekodkan sebanyak satu kes pada minggu ke-43 dengan kes itu direkodkan dari Selangor,” ujarnya.

Katanya, jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini ialah 670 kes, manakala bagi survelan Zika, sebanyak 1,655 sampel darah dan 16 sampel urin dijalankan saringan dan hasilnya negatif.

“Nyamuk Aedes adalah vektor yang efisien bagi penyebaran jangkitan demam denggi dan ia mempunyai jangka hayat selama 30 hari serta mampu menghasilkan antara 60 ke 120 biji setiap kali bertelur. 

“Oleh itu, memusnahkan tempat potensi pembiakan nyamuk Aedes adalah langkah terbaik untuk memastikan rantaian jangkitan demam denggi diputuskan,” katanya. – UTUSAN

The post 33 mati akibat komplikasi denggi appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *