PUTRAJAYA: Kementerian Luar memaklumkan bahawa seramai 373 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di empat negara ASEAN sudah pun berjaya diselamatkan.

Menerusi kenyataan di sini hari ini, ia turut mengesahkan setakat semalam pihaknya menerima 519 laporan melibatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa skim itu.

“Daripada jumlah ini, seramai 346 orang sudah selamat dibawa pulang ke tanah air, manakala 27 orang lagi masih berada di depoh tahanan negara yang terbabit,” jelasnya.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan ada tiga orang warga Malaysia yang menjadi mangsa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas dipaksa bekerja di sebuah lokasi terpencil di Myanmar sejak awal Oktober lalu diiringi pulang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang.

Wisma Putra menambah, selain Myanmar, ada mangsa jenayah skim penipuan berkenaan yang dikerah untuk bertugas di Laos, Kemboja dan Thailand.

“Wisma Putra melalui kedutaan besar Malaysia di semua negara terbabit giat bersama pihak polis untuk menyelamatkan baki 146 orang lagi mangsa,” tambah kenyataan itu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa negara berkenaan dalam membantu membebaskan semua mangsa sindiket.

Pada masa yang sama tegasnya, masyarakat diharapkan cakna dengan isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara agar tidak terjebak menjadi mangsa.

Bahkan Kementerian Luar memandang serius isu keselamatan dan kebajikan warga Malaysia di luar negara serta bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menanganinya.

Ahli keluarga yang disyaki terlibat diminta segera melaporkan kepada pihak polis atau boleh melaporkan terus kes itu kepada Wisma Putra menerusi e-mel [email protected]

Wisma Putra juga memberikan jaminan dan komitmen bantuan dihulurkan sepantas mungkin demi membebaskan rakyat Malaysia yang berdepan masalah di seluruh dunia. – UTUSAN

The post 373 mangsa penipuan pekerjaan di 4 negara sudah diselamatkan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *