PETALING JAYA: Kira-kira empat individu termasuk dua kanak-kanak cedera dalam kebakaran di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Perdana, Desa Aman Puri, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.14 pagi itu, kesemua mangsa sempat keluar menyelamatkan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, sebanyak 16 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba, kami dimaklumkan sebuah rumah terletak di tingkat satu di bangunan 12 tingkat itu terbakar.

“Kebakaran membabitkan sofa di ruang tamu yang menyebabkan sebahagian struktur rumah turut terbakar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Norazam berkata, kebakaran itu berjaya dipadamkan sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

Katanya, tujuh penghuni rumah berkenaan sempat keluar dari kediaman mereka sebelum api marak.

“Daripada tujuh penghuni berkenaan, dua mangsa dewasa selamat, manakala dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan cedera.

“Dua wanita berkenaan dilaporkan cedera di bahagian tangan dan muka. Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan,” jelasnya. – UTUSAN

The post 4 individu termasuk dua kanak-kanak terselamat dalam kebakaran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *