SANDAKAN: Kira-kira 400 orang tinggal sehelai sepinggang apabila 90 rumah musnah dalam kebakaran di perkampungan atas air di Kampung Cenderamata, Jalan Batu Sapi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, 80 rumah musnah sepenuhnya manakala, 10 buah terbakar sekitar 10 peratus.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, tiada sebarang kecederaan atau mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.06 pagi tadi dan seramai 22 orang pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 13 kilometer.

“Tindakan pantas bomba memadam kebakaran berjaya menyelamatkan 300 buah rumah lain yang berada di sekitarnya.

“Operasi pemadaman dijalankan dengan menggunakan sumber air dari jentera lori tangki bomba dan sumber air terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jimmy, pasukan bomba mengalami kesukaran dalam operasi pemadaman kebakaran kerana tiada pili bomba yang berdekatan dan keadaan air laut yang surut untuk dijadikan sebagai sumber air terbuka.

Jelas beliau, operasi dilaporkan terkawal pada pukul 4.54 pagi dan ditamatkan pada pukul 7.48 pagi.-UTUSAN

 

The post 400 hilang tempat tinggal, 90 rumah musnah dalam kebakaran appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *