KOTA KINABALU: Seramai 43 orang mangsa banjir di tempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Penampang.

Banjir yang melanda beberapa daerah sekitar pusat bandar raya itu berlaku akibat hujan lebat berterusan yang turun sejak petang semalam.

Setakat pukul 8 pagi tadi, 43 mangsa daripada 13 buah keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka sejak 7 malam.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan pemantauan bagi memindahkan mangsa terperangkap banjir di sekitar Pekan Donggongon, Penampang giat dilakukan sehingga awal pagi tadi.

Kawasan yang dilanda banjir sekitar pusat bandar raya semalam mulai surut termasuk di Kampung Rampaian, Manggatal, Kampung Keliangau, Jalan Sepanggar Tebobon, Kampung Tebobon dan Telipok.

Walau bagaimanapun, kesemua kawasan boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan pada pagi ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan terdapat 76 orang mangsa banjir daripada 10 keluarga dipindahkan di PPS Pusat Komuniti Kospen Kampung Ketiau, Putatan semalam.

Namun, kesemua mangsa dibenarkan pulang setelah banjir surut tengah malam tadi.

PPS Dewan PPR Sri Keramat, Putatan juga telah diaktifkan sebagai langkah awal persediaan banjir di daerah tersebut.

Turut dilaporkan, kejadian tanah runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Langkawit, Papar. Penduduk di kawasan sekitar telah diarahkan berpindah ke kawasan selamat sekiranya paras air naik.

Kawasan lain yang dilanda banjir sekitar Papar termasuk Kampung Tempasak, Sekolah Kebangsaan (SK) Tempasak Kinarut, Kampung Langsat, Kampung Mikik, Kampung Sabandil, Kampung Kinuta, Kampung Nagapas dan Kampung Surapit.

Terdapat mangsa yang dipindahkan ke rumah saudara namun, tiada PPS yang dibuka di daerah Papar. – UTUSAN 

The post 43 mangsa banjir Sabah dipindahkan ke PPS appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *