PETALING JAYA: Sebanyak 44 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan Kementerian Kesihatan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-49 tahun 2022 berbanding 19 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan meningkat sebanyak 131.6 peratus melibatkan pertambahan 25 kematian.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 60,110 kes berbanding 24,589 kes bagi tempoh sama 2021 iaitu peningkatan sebanyak 35,521 kes atau 144.5 peratus.

“Sebanyak 44 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 19 kematian bagi tempoh yang sama pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 25 kematian atau 131.6 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham turut mengumumkan jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada ME ke-49 mencatatkan penurunan sebanyak 3.3 peratus iaitu 1,871 kes berbanding 1,935 pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, lima kematian akibat akibat komplikasi demam denggi turut dilaporkan pada tempoh sama.

“Sebanyak 55 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu ini berbanding 53 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 26 lokaliti hotspot berada di Selangor, Sabah (21), Kuala Lumpur dan Putrajaya (5) dan Pulau Pinang (3),” katanya.

Noor Hisham berkata, survelan chikungunya merekodkan sebanyak 32 kes pada minggu ke-49 dengan 23 kes dari Pulau Pinang, tujuh kes dari Selangor dan masing-masing satu kes dari Kedah serta Pahang.

“Bagi survelan zika, sebanyak 2,075 sampel darah dan 18 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya. – UTUSAN

The post 44 kematian denggi sehingga ME ke-49 2022 appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *