JAKARTA: Lebih 44 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 300 cedera  selepas gempa bumi berukuran 5.6 skala Richter menggegarkan Jawa Barat selama beberapa saat, lapor agensi cuaca dan geofizik Indonesia.

Jumlah kematian itu disahkan seorang pegawai tempatan dari Cianjur, bandar yang paling teruk dilanda gegaran itu dan gegaran gempa itu turut dirasakan sehingga Jakarta.

“Maklumat yang saya dapat buat masa ini di hospital ini sahaja, hampir 20 orang meninggal dunia dan sekurang-kurangnya 300 orang sedang dirawat.

“Kebanyakan mereka mengalami keretakan akibat terperangkap dalam runtuhan bangunan,” kata Ketua Pentadbiran Cianjur, Herman Suherman kepada penyiar Metro TV.

Menurut Badan Meteorologi, Kajian Iklim dan Geofizik (BMKG), pusat gempa berada di darat di Cianjur di Jawa Barat, kira-kira 75 kilometer (km) di tenggara Jakarta pada kedalaman 10km namun tiada potensi tsunami dilaporkan.

Beberapa saksi memberitahu, terdapat beberapa orang yang mengosongkan pejabat di daerah pusat perniagaan Jakarta, manakala yang lain melaporkan berasa bangunan bergegar dan melihat perabot bergerak.

Saksi dikenali sebagai Muchlis, yang berada di Cianjur ketika gempa itu berkata, dia merasa gegaran kuat dan dinding serta siling bangunan pejabatnya rosak.

“Saya sangat terkejut. Saya bimbang akan berlaku lagi gempa. Orang ramai berlari keluar dari rumah mereka, ada yang pengsan dan muntah kerana gegaran kuat,” kata Muchlis kepada saluran berita Metro TV

Ketua BMKG, Dwikorita Karnawati bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen, menasihatkan orang ramai supaya berada di luar rumah sekiranya berlaku gegaran susulan.

Wakil BMKG, Suko Prayitno Adi berkata, pihak berkuasa sedang memeriksa tahap kerosakan akibat gempa itu.

The post 44 maut 300 cedera gempa bumi 5.6 gegar Jawa Barat appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *