JOHOR BAHRU: Seramai 48,759 calon menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di negeri ini yang bermula hari ini.
Bagi memastikan semua calon dapat menduduki peperiksaan tersebut dengan lancar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah melakukan persiapan rapi di semua 367 pusat peperiksaan berkenaan.
Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah JPNJ, Anuar Sukiran berkata, seramai 4,823 petugas yang terdiri daripada guru-guru telah digerakkan bagi memastikan kelancaran peperiksaan yang bermula hari ini hingga 15 Mac depan.
“Daripada seramai 48,759 calon SPM 2022 di Johor, 1,796 merupakan calon persendirian, manakala 149 merupakan calon berkeperluan khas, iaitu pelajar daripada orang kurang upaya (OKU),” katanya selepas melakukan tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda, di sini bagi memastikan kelancaran hari pertama peperiksaan SPM 2022 melibatkan subjek Bahasa Melayu Kertas 1.
Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Johor Bahru, Mohd. Kamal Ahmad Untong dan Pengetua SMK Bandar Baru Uda, Suriyah Mohamed Lahir.
Anuar memberitahu, bagi calon-calon SPM yang tinggal di kawasan kepulauan di Mersing, kesemua peperiksaan dijalankan di kawasan darat dengan diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Mersing.
Sementara itu, seorang calon SPM 2022, Mohd. Nabil Hazim Md. Idrus mengakui sudah bersedia menghadapi peperiksaan hari ini setelah membuat persediaan sejak beberapa bulan lalu.
“Hari ini kertas Bahasa Melayu dan Seni Visual, insya-Allah boleh jawab. Saya sudah bersedia sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Pasangan kembar, Mohd. Asyraf Abdullah dan Mohd. Azizan turut bersemangat untuk menduduki peperiksaan tersebut. – UTUSAN
The post 48,759 calon duduki SPM 2022 di Johor appeared first on Utusan Malaysia.