JEMPOL: Seramai 497 orang pelatih Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Konstabel Siri 3/2022 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Air Hitam, di sini, menamatkan latihan mereka hari ini.

Majlis Perasmian Perbarisan Tamat Latihan PLAK tersebut disempurnakan oleh Ketua Polis Kelantan selaku Pegawai Penerima Tabik Hormat, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Pada majlis tersebut, Konstabel Mhd Kazdan Paidin muncul sebagai pelatih terbaik keseluruhan sementara Konstabel Muhammad Farid Ismail pula dipilih sebagai Pelatih Terbaik Akademik.

Pelatih Terbaik Latihan Luar (Lelaki) menjadi milik Konstabel Muhammad Elmi Jumari manakala Konstabel Tengku Malisa Tengku Omar dipilih sebagai pelatih Terbaik Latihan Luar (Perempuan).

Sementara itu, ketika berucap, Muhamad Zaki menyeru semua pelatih supaya berbangga dengan karier yang mereka pilih itu dengan menjunjung prinsip serta nilai-nilai murni Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dalam pada itu turut menyeru masyarakat untuk turut sama membantu menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ pihak polis. 

“Saya menyeru masyarakat untuk menjaga ‘tepi kain orang’ walaupun peribahasa Melayu menyebut jangan jaga tepi kain orang.

“Di dalam konteks ini, sikap menjaga tepi kain orang yang dimaksudkan adalah berkaitan bagi mengelak berlakunya sesuatu kejadian jenayah kerana ia dapat memberi impak yang positif di dalam masyarakat.

“Ia bagi membendung sesuatu kejadian jenayah daripada berlaku tetapi jika sikap menjaga tepi kain orang ini disalah guna dan disalah erti maka terjadilah sesuatu perkara yang tidak diingini,” jelas beliau lagi.-UTUSAN.

 

The post 497 pelatih konstabel polis tamat latihan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *