WASHINGTON: Peguam kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menemukan dokumen sulit tambahan di kediaman rasmi pemimpin itu di Wilmington, Delaware minggu ini.

Menurut laporan The Washington Post, White House mendedahkan, penemuan ini adalah yang terbaharu dalam rentetan pendedahan mengenai penemuan bahan rahsia kerajaan yang kini menjadi subjek siasatan peguam khas, Jabatan Kehakiman.

Peguam peribadi Biden pada mulanya menemukan satu dokumen dengan tanda sulit pada hari Rabu lalu di dalam bilik bersebelahan dengan garaj dan berhenti membuat pencarian kerana mereka tidak mempunyai pelepasan keselamatan. 

Bagaimanapun, menurut penasihat khas White House, Richard Sauber, seorang peguam lagi dengan kebenarannya di kediaman Wilmington pada Khamis lalu meneruskan pencarian dan menemukan lima dokumen tambahan dengan tanda sulit.

“Oleh kerana saya mempunyai pelepasan keselamatan, saya pergi ke Wilmington petang Khamis untuk memudahkan penyediaan dokumen yang ditemukan oleh peguam peribadi Presiden pada hari Rabu kepada Jabatan Kehakiman.

“Saya bersama pegawai Jabatan Kehakiman menemukan lima muka surat tambahan dengan tanda klasifikasi ditemukan. Pegawai Jabatan Kehakiman bersama saya dengan segera mengambil bahan itu,” kata Sauber.

Kelmarin, peguam peribadi Presiden, Bob Bauer mengeluarkan garis masa umum tentang peristiwa penemuan dokumen sulit di pejabat peribadi Biden dan di rumahnya di Wilmington dalam usaha untuk bekerjasama dengan penyiasatan Jabatan Kehakiman.

Kenyataan itu menggariskan pelbagai langkah yang telah diambil oleh peguam Biden sejak November lalu apabila mereka menemukan apa yang disifatkan White House sebagai ‘sebilangan kecil’ dokumen sulit di Pusat Diplomasi dan Penglibatan Global Penn Biden, sebuah institut di Washington di mana Biden menyimpan pejabat selepas berkhidmat sebagai Naib Presiden AS.

The post 5 dokumen sulit tambahan ditemukan di rumah Biden appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *