KLUANG: Lima maut apabila kereta Perodua Myvi yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Honda Stream di Batu 13, Jalan Kahang-Mersing, petang tadi.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa yang maut ialah Masrina Kahdar, 21, Mohd. Aidil Abdul Kadir, 23, Muhammad Zhafrah Noramin, 16 dan adiknya, Muhammad Syakir, 11, serta Mohammad Asyraf Radiq Abdullah, 11.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Shamsul Amri Mohd. Shahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.40 petang.

“Sembilan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan sejurus sampai di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan membabitkan dua buah kenderaan.

“Pasukan menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan seorang mangsa yang menaiki Honda Stream yang terperangkap.

“Kesemua mangsa yang lain telah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba sampai di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mohd. Shamsul berkata, tiga mangsa yang berusia 10 hingga 53 tahun menaiki Honda Stream turut mengalami kecederaan.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kluang untuk rawatan lanjut. – UTUSAN

The post 5 maut dalam kemalangan babitkan dua kenderaan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *