PUTRAJAYA: Seramai 508 calon berjaya mendapat keputusan 7A bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2022 di Wilayah-Wilayah Persekutuan yang diumumkan hari ini.

Sejumlah 542 calon pula mendapat keputusan 6A sekali gus menyaksikan peratusan lulus bagi seluruh mata pelajaran meningkat kepada 97.8 peratus tahun ini berbanding 94.3 peratus tahun lalu.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata, seramai 8,230 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan UPSRA bagi tahun 2022.

Menurutnya, ia terdiri daripada 380 calon Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ); 4,748 calon Sekolah Rendah Agama (SRA); 2,714 calon Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta 388 calon sekolah-sekolah swasta yang berdaftar dengan JAWI. 

“Sejumlah 192 pusat peperiksaan dan 468 petugas pula terlibat dalam pelaksanaan ujian tersebut,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Majlis pengumuman keputusan UPSRA 2022 dibuat Timbalan Pengarah Operasi Jawi, Mohd. Fadzil Abu Kasim di Dewan Masjid Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Jawi, UPSRA dilaksanakan bertujuan memastikan tahap pembelajaran murid berdasarkan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) dapat dicapai. 

“Ujian tersebut juga menjadi indikator penting untuk mengukur kemenjadian murid dari aspek akademik sekali gus menjadi nilai tambah dalam proses pemilihan murid bagi kemasukan ke sekolah menengah pada setiap tahun,” katanya.

Murid-murid yang menduduki UPSRA boleh mendapatkan pernyataan keputusan peperiksaan UPSRA masing-masing pada Rabu ini mulai pukul 10.00 pagi di sekolah masing-masing. – UTUSAN

The post 508 calon UPSRA Wilayah Persekutuan peroleh 7A  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *