KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen di negara ini dituntut supaya akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan.

Penaung yang juga Penasihat Sekretariat Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Bergabung dan Bersekutu (NNBB), Dr. Hassan Hamzah berkata, mana-mana pihak yang ingkar arahan tersebut boleh dianggap sebagai menderhaka kepada Seri Paduka.

Katanya, kesemua 588 NGO di bawah gabungan itu tidak sesekali membiarkan Parlimen terus tergantung ekoran kedegilan para wakil rakyat untuk bekerjasama antara mereka.

“Kami beri amaran, jangan setelah dilantik jadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mereka derhaka pula kepada Tuanku.

“Ini bukan masanya untuk kita berpolitik kepartian, bangsa mahu pun wilayah. Oleh itu semua pihak perlu akur kepada titah Seri Paduka tanpa mengira bangsa atau agama mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato Onn di sini sebentar tadi.

Menurut Hassan, gabungan NGO itu akan menyerahkan memorandum kepada Seri Paduka di Istana Negara esok bagi menuntut semua ahli Parlimen akur dengan pembentukan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Pengerusi sekretariat berkenaan, Baharin Mohd. Tahir berkata, jika Parlimen tergantung dalam tempoh lama tentunya  memberi kesan kepada kestabilan politik dan ekonomi negara.

Katanya, perkara itu jelas dilihat dengan kejatuhan Bursa Malaysia dan dibimbangi keadaan menjadi lebih buruk dalam situasi inflasi pada masa ini. – UTUSAN

The post 588 NGO tuntut ahli Parlimen akur bentuk kerajaan perpaduan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *