TAMPIN: Sebanyak 59 buah rumah kawasan Pasir Besar, Gemas di sini, terjejas dalam kejadian ribut di kawasan berkenaan, petang semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Datuk Abd Razak Ab Said berkata, kejadian membabitkan tiga buah penempatan Felda, sebuah taman perumahan serta sebuah kampung.

Menurutnya, dalam kejadian yang sama, empat batang pokok turut tumbang di mana dua daripadanya mengenai struktur rumah dan dua lagi pokok tumbang mengenai wayar elektrik.

“Pada peringkat awal iaitu lewat petang semalam, kami mendapat maklumat 16 buah rumah terjejas dalam kejadian ini, namun jumlah semakin bertambah dan sehingga 12.30 tengah hari tadi, sebanyak 59 buah rumah telah dikenal pasti terjejas.

“Kebanyakan rumah mengalami kerosakan membabitkan atap dan perabot, cuma di kawasan Felda terdapat beberapa buah rumah mengalami kerosakan teruk sehingga 95 peratus. Kali terakhir kejadian ribut besar di kawasan ini adalah pada tahun 2014,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Narsham Abd Aziz, 73, berkata, ketika kejadian iaitu sekitar pukul 5 petang dia berseorangan di rumah dan terdengar bunyi deruan angin serta atap-atap rumah terangkat.

“Sepanjang lebih 35 tahun saya menetap di Felda Pasir Besar, kejadian ribut macam ni tidak pernah berlaku. Jika ada pun hanya membabitkan rumah penduduk yang terletak di kawasan lebih rendah,” katanya.

Nur Zahira Budin, 36, pula berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja di sebuah kedai runcit berdekatan.

“Selepas kejadian ibu hubungi saya beritahu bumbung dan atap rumah sudah diterbangkan angin. Air hujan mencurah masuk ke rumah. Banyak barang rosak dan kerugian juga agak besar dalam kejadian bencana alam ini,” katanya. – UTUSAN

The post 59 buah rumah terjejas ribut di Tampin appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *