PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak enam kertas pencalonan melibatkan empat kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada urusan penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijalankan hari ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon dibuka di seluruh negara bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi untuk bakal-bakal calon mengemukakan kertas penamaan mereka yang turut melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah. 

Menurut beliau, tiada kerusi menang tanpa bertanding dengan menyaksikan pertembungan paling tinggi sebanyak 10 penjuru di peringkat Parlimen iaitu P.115 Batu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala tujuh penjuru bagi DUN melibatkan N.47 Chenderiang, Perak.

“Kali ini sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 117 DUN iaitu melibatkan Pahang, Perlis, Perak serta satu kerusi N66, Bugaya dipertandingkan. 

“Dengan selesainya urusan penamaan calon tersebut,  maka tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan dipertandingkan sehingga 11.59 malam, 18 November ini,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.

Abdul Ghani berkata, maklumat terperinci mengenai pertandingan ini akan dimaklumkan kemudian melalui suatu kenyataan media. 

Pada masa sama, SPR memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan kempen dan mengundi termasuk bagi kes Covid-19 akan dikeluarkan kemudian. – UTUSAN

The post 6 pencalonan ditolak, tiada kerusi menang tanpa bertanding  appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *