SEOUL: Beratus-ratus penduduk terpaksa dipindahkan selepas kebakaran besar berlaku di sebuah bandar terpencil di ibu negara Korea Selatan.

Kira-kira 60 buah rumah dilaporkan musnah dalam kebakaran di Kampung Guryong awal pagi tadi namun sehingga kini tiada kematian atau kecederaan dilaporkan.

Media Korea Selatan menyifatkan kawasan kediaman sementara yang padat itu sebagai kawasan setinggan terakhir di Seoul.

Lebih 900 anggota bomba dan beberapa helikopter dikerahkan dan pasukan bomba mengambil masa lebih lima jam untuk memadamkan kebakaran.

“Sejurus selepas saya membuka pintu, saya melihat api marak dari tiang di satu sisi. Keadaan sangat merbahaya jadi saya terus mengetuk pintu dan menjerit meminta penduduk keluar sebelum keadaan mula menjadi huru-hara,” kata seorang penduduk warga emas berusia 72 tahun.

Jelas seorang jurucakap, Presiden, Yoon Suk-yeol menggesa usaha dijalankan untuk meminimumkan kerosakan dan menggerakkan semua anggota penyelamat serta jentera yang ada.

Suk-yeol kini berada di Switzerland untuk sidang kemuncak Forum Ekonomi Dunia di Davos.

Punca sebenar kebakaran masih disiasat tetapi kawasan itu diketahui sering terdedah kepada bencana kerana banyak rumah dibina hanya dengan menggunakan kadbod dan kayu.

Menurut Korea Times, Kampung Guryong telah mengalami sekurang-kurangnya 16 kebakaran sejak tahun 2009.

The post 60 buah rumah kawasan setinggan di Seoul musnah dijilat api appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *