KEMAMAN: Peluang untuk Barisan Nasional (BN) menawan kembali kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) dilihat semakin cerah apabila semakin ramai penyokong parti lawan beralih menyokong parti itu. 

Terbaharu, seramai 63 ahli Bersatu Cawangan Kampung Ranggon, Kemasik di sini bertindak keluar parti dan menyertai UMNO. 

Ketua Bersatu Cawangan Kampung Ranggon, Azman A. Ghani berkata, keputusan tersebut dibuat secara sukarela selepas hilang kepercayaan dan kecewa dengan kepemimpinan parti. 

“Kepemimpinan parti tidak mengambil cakna terhadap kami. Malah, sejak ditubuhkan pada 2018, pihak atasan tidak pernah datang jenguk kami. 

“Lebih mengecewakan, setiap program yang kami lakukan, tiada peruntukan yang diberikan. Semua program yang kita buat menggunakan duit sendiri,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, malam tadi. 

Azman yang sebelum ini juga merupakan bekas ahli UMNO berkata, dia turut melihat banyak perbezaan antara UMNO dan Bersatu. 

“Sebelum ini, saya masuk Bersatu kerana fikir itu parti yang terbaik, namun selepas hampir empat tahun menyertai Bersatu, saya nampak banyak beza dan tiada apa-apa pembaharuan. Jadi, saya buat keputusan kembali semula ke pangkuan UMNO,” katanya.

Sabtu lalu, seramai 600 ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kemaman turut keluar parti dan menzahirkan sokongan terhadap UMNO. – UTUSAN

The post 63 ahli Bersatu keluar parti, sertai UMNO appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *