PETALING JAYA: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memproses dan mengedar cecair vape mengandungi dadah ketamin dalam serbuan berasingan di Lembah Klang, Khamis lalu.

Kesemua mereka terdiri enam lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia 25 hingga 34 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya, Ampang dan Wangsa Maju antara pukul 7 malam hingga 10.50 malam.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, hasil serbuan itu, cecair ketamin yang diletakkan dalam perisa vape sebanyak 104.16 liter dirampas.

Kata beliau, selain itu, syabu seberat 27.56 gram dan 160 biji pil yaba yang dianggarkan bernilai RM3.44 juta turut dirampas.

“Sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dengan menggunakan modus operandi mencampurkan cecair ketamin ke dalam perisa vape dan menggunakan perkhidmatan kurier bagi mengedar dadah untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, tindakan sitaan dikenakan ke atas aset sindiket yang dianggarkan bernilai RM37,407.50 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Honda Civic, dua motosikal jenis Yamaha RX-Z dan WMoto, barang kemas serta wang tunai berjumlah RM2,530,” jelasnya.

Kata beliau, saringan awal yang dijalankan mendapati hanya lima suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo.

“Semakan rekod mendapati enam suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN

 

The post 7 ditahan, pelbagai dadah bernilai RM3.44 juta dirampas appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *