KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima sebanyak 85 laporan polis dan membuka 15 kertas siasatan berkaitan pelbagai kesalahan berkaitan pilihan raya antara 26 Oktober hingga 14 November.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, lima tangkapan juga telah dilakukan di Tenom susulan rusuhan yang berlaku semasa hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pihak Polis telah menahan lima lelaki bagi membantu siasatan kes rusuhan tersebut dan kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kertas siasatan berkaitan kes ini juga sedang dikemas kini. Setakat ini, itu sahaja kes yang membabitkan tangkapan,” kepada pemberita selepas pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Kepayan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony antara yang ditahan bagi membantu siasatan kes rusuhan tersebut.

Idris berkata, secara keseluruhan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen di Sabah berjalan dengan baik.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tempoh 10 hari berkempen sehingga semalam, sebanyak 3,476 permit kempen diluluskan di seluruh Sabah

“Sebanyak 520 permit kempen pilihan raya diluluskan sepanjang tempoh 24 jam dan permit yang paling banyak diluluskan adalah di Lahad Datu dengan 93 permit.

“Justeru, saya meminta semua calon untuk mematuhi peraturan dan garis panduan pilihan raya.

“Di samping itu, semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam PRU-15 agar mematuhi undang-undang dan arahan semasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses pilihan raya ini dapat dilaksanakan dengan teratur dan lancar,” katanya. –UTUSAN

The post 85 laporan polis, 15 kertas siasatan dibuka di Sabah appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *