ATHENS: Seramai 92 pendatang ditemukan dalam keadaan separuh bogel dan kesan lebam di badan mereka selepas didakwa dipaksa menyeberangi sungai Evros dari Turki ke Greece.

Bagaimanapun, Turki menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Agensi sempadan Kesatuan Eropah (EU), Frontex mengesahkan ketibaan kumpulan pendatang itu dalam keadaan yang disifatkan oleh Kementerian Perlindungan Awam Greece sebagai `tidak berperikemanusiaan’.

“Pegawai mengesahkan pendatang itu ditemukan dalam keadaan separuh bogel yang mana antara mereka turut mengalami kecederaan,” kata jurucakap pertubuhan itu, Paulina Bakula.

Terdahulu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menyuarakan kebimbangan mengenai laporan dan gambar menunjukkan keadaan kumpulan pendatang yang ditemukan di sempadan darat Greece-Turki.

Menurut Bakula, pegawai Frontex sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Greece untuk mengagihkan bantuan segera kepada kumpulan pendatang yang sebahagian besar terdiri daripada warga Afghanistan dan Syria.

Tambah beliau, pihaknya juga memaklumkan kepada pegawai hak asasi agensi itu mengenai kemungkinan berlaku pelanggaran hak asasi.

Dalam pada itu, Menteri Perlindungan Awam Greece, Takis Theodorikakos mendakwa Turki `mempermainkan’ pendatang haram dalam siri tuduhan terbaharu mengenai migrasi antara dua negara itu.

Theodorikakos mendakwa ramai pendatang memaklumkan kepada Frontex bahawa `tiga kenderaan tentera Turki membawa mereka’ ke sungai yang bertindak sebagai sempadan.

Sementara itu, ketua jurucakap Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan iaitu Fahrettin Altun menafikan sebarang penglibatan terhadap isu pendatang tersebut.

Malah, beliau turut menyalahkan Greece atas situasi `tidak berperikemanusiaan’ itu. – AFP

The post 92 pendatang separuh bogel ditemukan di sempadan Greece-Turki appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *