SHAH ALAM: Sebanyak 98 tempat tadahan air yang terdiri daripada kolam, tasik dan bekas lombong akan digunakan kerajaan Selangor sebagai sokongan bekalan sekiranya berlaku kemarau pada tahun 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mewartakan 20 bekas lombong selain telah mengenal pasti 78 kolam tambahan baru bagi perkara ini.

“Daripada keseluruhan itu, kerajaan negeri telah meluluskan 21 buah kolam dipilih untuk dinaik taraf dalam Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).

“Kolam-kolam yang dipilih ini dijangka mampu menyediakan tambahan bekalan dengan ketahanan selama 2 bulan,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze yang bertanyakan apa pelan tindakan kerajaan negeri untuk menghadapi kemarau berpanjangan bermula tahun 2025.

Sementara itu, Izham memaklumkan bahawa Jabatan Pengairan dan Pengaliran (JPS) Selangor akan menilai 127 kolam takungan banjir yang ada di negeri sebagai sumber bekalan air bagi menghadapi fenomena tersebut.

“Ini bagi melihat sama ada juga boleh bertindak dwifungsi iaitu sebagai takungan banjir dan sumber air alternatif ketika musim kemarau,” tegasnya. – UTUSAN

The post 98 tempat tadahan air sebagai sokongan bekalan air di Selangor appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *