PUTRAJAYA: Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dilantik sebagai penyandang baharu bagi jawatan Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia.

Pengumuman mengenai perkara tersebut dilaksanakan pada Majlis Penyampaian Surat Cara Pelantikan serta juga Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia, di sini hari ini.

Beliau yang dilahirkan di Sibu, Sarawak pada 3 Julai 1959 lalu, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Kehakiman.

Abang Iskandar merupakan graduan Sarjana Undang-Undang Kepujian Universiti Malaya dan akan menggantikan Tan Sri Rohana Yusof yang menyandang jawatan itu sejak 2019.

Mahkamah Rayuan Malaysia yang diwujudkan pada 1994 ialah mahkamah kedua bertaraf paling tinggi dalam hierarki sistem kehakiman negara selepas Mahkamah Persekutuan.

Ia mula dibentuk sebagai sebahagian daripada pembaharuan bidang perundangan Malaysia setelah Majlis Privy yang lebih kepada kehakiman Britain dimansuhkan pada 1985 lalu.

Presiden Mahkamah Rayuan mengetuai mahkamah ini dan dianggap sebagai individu kedua paling penting dalam sistem badan kehakiman Malaysia selepas Ketua Hakim Negara.

Pelantikan rasmi dibuat atas perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dengan penyandang bersara wajib apabila mencapai usia 66 tahun.

Abang Iskandar yang memulakan perkhidmatan perundangan sebagai majistret di Miri, Sarawak pada 1983 lalu, pernah bertugas dalam pelbagai jawatan di beberapa buah negeri dan pernah dilantik menjadi Peguam Kanan Persekutuan Jabatan Peguam Negara selain Pengarah Bahagian Penguatkuasaan di Suruhanjaya Sekuriti secara pinjaman.

Tidak ketinggalan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Shah Alam, Selangor dan Kuala Lumpur serta menjadi Hakim Mahkamah Tinggi di ibu negara dan Georgetown, Pulau Pinang.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan di Putrajaya sejak 2022, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah untuk menyandang Hakim Besar Malaya.

Begitu juga seorang lagi Hakim Mahkamah Persekutuan sejak 2019, Datuk Abdul Rahman Sebli yang secara rasmi dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak yang baharu.

Hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya sejak 2020 lalu, Datuk Nordin Hassan pula dilantik selaku Hakim Mahkamah Persekutuan dan tempatnya digantikan Datuk Azman Abdullah.

Turut dilantik ialah enam orang Hakim Mahkamah Tinggi sebagai Hakim Mahkamah Rayuan baharu dan 11 orang Pesuruhjaya Kehakiman pula sebagai Hakim Mahkamah Tinggi. – UTUSAN

The post Abang Iskandar dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *