ROMPIN: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan, beliau tidak pernah membuat kenyataan menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel. 

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau terbuka jika dipanggil Bukit Aman untuk disiasat berhubung dakwaan terbabit.

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Marang itu, beliau sehingga kini belum dihubungi pihak berkuasa dan kemungkinan tiada. 

“Siapa kata (Anwar ejen Israel)? Saya tak kata, kalau saya tak kata, dia yang kata… terserah dia lah.

“Bukit Aman tahu saya kata tak kata sebab apabila saya ceramah pun dia rakam, kenyataan media saya pun Bukit Aman baca. Saya kata, tak kata ke terpulang,” katanya dalam sidang akhbar selepas ceramah PN di Bandar Baru Rompin di sini semalam. 

Beliau ditanya berkenaan laporan media kononnya Presiden Pas itu disiasat oleh Bukit Aman kerana menuduh Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

Terdahulu, Bukit Aman mengesahkan siasatan sedang dijalankan terhadap Presiden Pas itu susulan beliau menuduh Anwar sebagai ejen Israel.

Sebelum itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, Anwar sudah mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang mengaitkannya sebagai ejen Israel.

Bagaimanapun, media membuat laporan baru dengan pindaan bahawa polis sedang menyiasat Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad berhubung kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata,. beliau tiada sebarang masalah jika disiasat malah itu bukan kali pertama dipanggil Bukit Aman.

“Saya bukan sekali dua dipanggil Bukit Aman. Boleh pergi Bukit Aman, tak jadi masalah. Memang saya terbuka, sedia untuk disiasat,” katanya. – UTUSAN

The post Abdul Hadi sedia disiasat, nafi tuduh Anwar ejen Israel appeared first on Utusan Malaysia.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *